Ahad, 6 November 2011

Membantu, bukan mengajar mereka

1 Januari 1997 saya diberikan tugas menjadi jurulatih (tapi dalam surat tawaran pensyarah sambilan, tapi saya lebih suka memperkenalkan sebagi guru) kursus fotografi ko-kurikulum UKM. Mulanya agak sukar untuk mengendalikan kursus ini kerana saya hanya seorang jurufoto, bukan seorang jurulatih. Mujur pengalaman saya pernah bergiat dalam persatuan belia, kesatuan kakitangan UKM maka menjadi mudah bagi saya.

Pelajar yang menyertai kursus ini wajib mengikuti kursus ini kerana mereka perlu lulus kalau tidak ijazah tidak akan dikeluarkan oleh UKM. Saya merasakan pelajar menjadi sukar kalau kursus ini dijalankan dengan kaedah begitu. Maklumlah fotografi mungkin baru abgi mereka. Tapi saya memudahkan mereka dengan menjadikan kursus ini secara santai, gembira, berlawak. Saya lebih menggunakan pendekatan berkongsi ilmu, bukan mengajr ilmu.

Tahun 1997 fotografi masih lagi menggunakan media filem dan cetakan dalam Bilik Gelap, maka aktiviti fotografi lebih santai.

Masih saya ingat pelajar pertama saya bernama, Mod Madun, Rafie, Zulkifli,Hashim. Mereka merupakan pelajar yang menyambung pelajaran setelah bekerja. Bagi saya pelajar-pelajar ini membantu saya dalam melancarkan perjalanan kursus.

Namun ada juga masalahnya apabila hendak diadakan kuliah ada yang memberitahu saya "En Raai, saya lewat sikit sebab kena ambil isteri sebalum datang kuliah".



Satu kes pula seorang pelajar yang bercuti sebagai guru kerana menyambung pelajaran. Setiap hari Sabtu beliau akan membawa beg pakaian. Akhir setelah agak mesra dengan saya, beliau secara jujurnya memberitahu saya bahawa kena balik awal kerana bas terakhirnya pukul 5 petang di Pudu Raya (kini Pudu Central) untuk balik ke Perak bertemu keluarga. Oleh kerana saya memahani perasannya maka beliau diberikan kelulusan balik awal, tapi saya pernah berkata kepada pelajar lain "Kakak tu kena balik awal sebab nak jumpa keluarga seminggu sekali".

Peristiwa paling menyayat hati juga tidak kurang saya alami. Ada pelajar saya yang gagal menyambung kerana menghadapi masalah keluarga. (Sila baca topik ini ) Saya pernah menulis di blog ini namun tidak mahu memanjangkannya. Ada juga yang terpaksa menarik diri dari kursus saya kerana nenek sakit.

Tapi satu emel yang pernah saya terima dari orang alumni kursus saya, kini menjadi pensyarah di sebuah MRSM membuatkan saya agak teruja apabila diungkapkan seperti ini "En Raai terima kasih kerana membimbing saya. Saya belum faham ketika muda dulu. Sekarang setelah dewasa baru saya faham apa yang En Raai bimbing diluar topik fotografi".

Saya ingin memberitahu kepada pembaca blog ini bahawa pelajar yang menyertai kursus saya bukan sahaja belajar fotografi, saya mendidik mereka dalam berbagai aspek sosial, agama, kekeluargaan. Topik ini boleh dikaitkan menerusi gambar yang ditayangkan.

Katakan kalau saya mempamerkan gambar makanan. Saya akan berkata, muslim perlu makan makanan halal. Justeru peniaga perlu menyediakan makanan halal. Kalau peniaga menyediakan makanan yang halal jumlah jualan akan meningkat. Saya tujukan maksud ini kepada pelajar bukan Islam. Mereka faham kerana saya bukan mengajak mereka memeluk Islam, tetapi membawa mereka memahami Islam.

Pernah saya berkata di dalam kuliah bahawa tahu kaedah untuk mendapat kembali barang yang hilang atau dicuri. Suatu hari datang seorang pelajar bukan Islam meminta bantuan kerana motosikalnya hilang. Saya kata boleh membantu tetapi hanya menurut cara Islam. Kerana doa yang saya baca hanya boleh diamalkan oleh seorang yang Islam.

Siapa kata dengan fotografi tidak boleh berdakwah? Mungkin silap jika kita berandaian begitu kerana saya mengamalkan kaedah saya tanpa perlu bersongkok dan berserban dan berjubah. Ketika kuliah saya sering bertanya siapa belum solat sila ke surau terlebih dulu, kerana kuliah saya jatuh nombor dua selepas solat.

Malahan saya pernah membawa buah kurma dan sebotol air dan diletakkan diatas meja sebelum masuk waktu berbuka puasa di bulan Ramadan. Mereka bertanya untuk apa buah kurma itu, saya berkata ia adalah bekalan kerana saya tidak sempat balik rumah.

Pernah satu ketika seorang pelajar saya baru memeluk Islam setelah menjadi siswa UKM. Saya faham beliau memerlukan bantuan, kasih sayang dari rakan sesama Islam. Pelajar ini begitu rapat dengan saya kerana beliau mungkin merasakan ada tempat berteduh membimbingnya disamping ustaznya. Malahan apabila dia berkata ayahnya mungkin membunuhnya kerana tukr agama. Saya memberikan semangat bukan kerja seorang ayah yang normal akan membunuh anaknya. Akhirnya setelah beliau tamat pengajian dan memberitahu saya seluruh keluarganya telah menerima dia sebagai seorang Islam. Syukur Alhamdulillah.

Soal alaun sering menjadi topik perbualan ketika di kalangan jurulatih ketika bertemu dalam mesyuarat. Ramai yang tidak berpuashati. Maklumlah ketika di tahun 1997 kami hanya dibayar RM20 sahaja. Selepas itu RM25 dan kini RM50. Orang yang memikirkan soal wang sebanyak itu apa yang dapat? Namun saya memikir diluar kotak kerana apa yang saya perolehi adalah lebih mahal dari itu.
Saya pernah diceritakan oleh biras saya ketika beliau temuduga memohon tanah di sebuah daerah di Johor, Penolong Pegawai Daerah di situ adalah bekas pelajar saya. Apabila beliau menyebut nama saya, biras saya di berikan tanah yang di pohon. Ini rezekibiras saya.

Tapi tahukah sdra/i ketika saya memegang pen atau komputer untuk menulis markah pelajar merupakan satu perkara yang mengerunkan. Mana tidak seandainya saya berlaku tidak adil, sudah pasti kesannya akan diberikan kepada saya kerana anak-anak masih belajar. Seorang ayah tentunya kalau markah anak tidak bagus, sudah pasti saya!

Kenapa suka mengajar fotografi? Memang sukar untuk saya jelaskan kerana saya bukanlah seorang jurufoto terkenal. Saya hanya jurufoto kerajaan seperti kakitangan lain. Kalau mengira wang gaji memang tidak cukup. Kalau ditambah dengan alauan yang saya dapat juga tidak mencukupi. Jadi untuk apa saya harus meninggalkan nikmat bercuti setiap hari Sabtu. Saya jarang merasai nikmat cuti hari Sabtu sejak 1997.Namun apa yang saya perolehi sepanjang menyertai program ini sukar untuk ditulis.

Pelajar yang berjaya dalam pengajian di UKM bukan kerana saya. Mereka telah sedia bagus sebelum memasuki UKM. Namun tahukah kita setelah mereka menjejakkan kaki ke mana-mana universiti, pelajar ini akan menghadapi berbagai masalah samada kecil atau besar. Anda yang pernah bergelar siswa/i sudah tentu faham perkara ini.

Pernah saya diberitahu seorang pelajar Cina perempuan memberitahu saya bahawa ibunya sedang sakit sebab itu dia gagal hadir ke kuliah. Saya tidak menganggap dia menipu. Tapi menjelang peperiksaan teori esok pagi, malam itu dia menelefon saya bahawa ibunya telah meninggal dunia. Saya faham budaya dan agamanya. Maka saya menasihatkan pelajar ini agar menghubungi pejabat akademik selepas selesai upacara penggurusan mendiang ibunya.

Di sini saya ingin mengadakan bahawa memahami masalah pelajar setidak-tidaknya dapat meringankan kehidupan mereka di kampus. Saya mungkin tidak mampu memberikan mereka dengan wang, paling tidak sokongan moral. 


Pernah berkata kepada seorang pelajar yang berjaya, bahawa saya amat berbangga apabila seseroang pelajar itu berjaya. Malahan saya tidak dapat berbuat apa-apa ketika melihat dia diseret menaiki kereta polis kerana menyertai demontrasi. Namun saya faham mereka ada hak dalam kehidupannya dan saya tiada kuasa menghalang, cuma membantu. Kalau tindakkannya dikatakan betul maka betullah pada dia.

Suatu ketika pelajar memberontak kerana tidak berpuashati dan membuat demontrasi. Ketika merakam gambar saya terpandang wajah seorang pelajar saya. Keesokkan harinya ketika datang ke kuliah, saya berkata kamu hilang suara sebab menjerit malam tadi ke? Dia tersenyum dan menyambung "saya nampak Cikgu....". Tapi saya tahu, dengan adanya saya di lokasi demontrasi itu paras "anginnya" mungkin menurun sedikit.

Saya yakin cara saya di minati oleh pelajar saya walaupun saya tidak garang. Saya tidak pernah memarahi mereka macam pelajar-pelajar di sekolah. Saya yakin mereka adalah remaja matang dan bukan remaja nakal. Mereka kritis dan berinovasi. Sebab itu ada waktunya mereka memikirkan tahap ilmu yang lebih daripada orang lain. Tidak mengapa kalau mereka tunjuk pandai. Kerana tujuan mereka diasuh, diajar adalah untuk menjadi pandai. Kalau mereka lebih pandai dari guru itum adalah perkara biasa. Bukankah ramai anak-anak murid yang menjadi Profesor sedangkan Cikgunya masih menjadi Guru? Seorang guru amat bangga apabila muridnya sudah pandai.

Sehingga kini masih ada bekas pelajar saya yang menghubungi saya menerusi telefon, Fecebook, walaupun sudah lama tidak bertemu. Saya gembira.

Selasa, 25 Oktober 2011

Nak Jadi Jurufoto?

Sekitar empat puluh tahun dulu saya amat gemar melihat gelagat Jurufoto di majlis-majlis rasmi. Setelah saya bertugas di UKM pada tahun 1979 saya mula merasai budaya kerja Jurufoto. Namun sebagai orang baru dalam dunia fotografi banyak perkara baru yang harus saya pelajari. Profesor Dr Mohamed Omar, Khalil Alwi (Hj) menjadi mentor saya waktu itu.

Dalam beberapa sesi kursus yang  dihadiri maka saya dapat mengenali Pak Hamzah Hurmin, Ahmad Nayan (arwah), Pak Nahar Kamsani, Salleh Osman, Arif Azahari. Pak Wan, Raja Harun Reduan. Namun oleh kerana mereka adalah orang press yang sibuk, kalau dapat bertemu pun dalam siri-siri kursus sahaja.

Saya mulai mengenali Young tauke kedai di Kajang yang memiliki studio Tokyo Foto. Saya mengenali beliau ketika  filem slaid lambat siap, saya marah-marah waktu itu. Dia penyabar orangnya. Pada saya dia menggunakan falsafah "pelanggan selalunya betul". Kemudian saya menjadi pelanggan tetapnya. Malahan saya banyak belajar erti seorang usahawan foto. Malahan beliau seorang bangsa cina yang tidak lokek ilmu. Saya boleh masuk ke studionya. Malahan saya boleh masuk ke Bilik Gelap tempat beliau memproses filem.

Justeru, saya berkata di dalam hati, kalau nak menjadi jurufoto yang berjaya harus dikritik. Berani dicabar, berani di "maki". Kalau mengharapkan orang memuji itu adalah silap.

Ketika menggunakan filem sebagai media untuk menghasilkan foto bukanlah semudah sekarang. Kalau sekadar sepuluh tahun menjadi karyawan foto belum pasti boleh menjadi guru jauh dari itu sukar untuk memperolehi gelaran Sifu..... Malahan Arif Azhari (NST) pernah berkata dalam satu bengkel fotografi anjuran Asfon, "saya hanya pandai ambil gambar, bercakap dalam bidang ini sukar sekali"

Salleh Osman (NST) pernah berkata di dalam satu ceramahnya (ketika itu beliau bertugas di Tan Chong Motor) "saya sediakan wang sebanyak 600 ringgit untuk membeli buku setiap bulan ".

Saya fikir, kalau hendak menjadi jurufoto yang bagus, wang harus dilaburkan untuk mencari ilmu.

Tahun 1986 saya menyertai kursus Professional Portrait Seminar - Portrait and Wedding Photography. oleh: B.Schmachtenberg (German) anjuran Eng Tong Sistem Fotografik. Apa yang menarik dalam kursus ini ialah kandungannya. Tetapi lebih menarik ialah 99% peserta adalah peniaga kedai gambar seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Semua peserta berbangsa cina ini bukan boleh berbahasa Inggeris. Tapi ada seorang penterjemah.

Menariknya mereka membantu bangsa mereka.Waktu itu belum ada bangsa kita yang mahu mengajar kecuali nama-nama yang telah saya senaraikan diatas. Paling ketara ialah Pak Wan (Redzuan Fotomedia, Pertama Komplek) yang sanggup membuka kelas fotografi. Sekarang sudah ramai anak-anak melayu yang menjadi guru setelah memperolehi ilmu formal di IPT.

Minat dikalangan orang melayu terhadap fotografi memang tinggi. Ketika itu saya dapati kursus yang dianjurkan oleh Pak Wan mendapat sambutan yang menggalakkan. Malahan setelah saya membuka laman web Alam Seni Foto begitu banyak emel yang saya terima.  Ini menunjukkan peminat fotografi sudah ramai. Kesannya begitu ketara setelah wujudnya kamera digital. Pada peringkat awal, ramai menggunakan kamera kompak. Sekarang saya lihat sudah ramai menggunakan DLSR.

Rabu, 18 Mei 2011

Emak saya hairan apabila saya mandi dengan air tanah

Sesampai di rumah saya meminta emak mengeluarkan baldi, kain basahan dan cangkul. Setelah semua itu tersedia saya mencangkul tanah di belakang rumah dan memasukkannya ke dalam baldi. Tanah itu saya campur dengan air kemudian mandi sampai satu badan.

"Pasai apa jadi macam ni....". Terbeliak mata mak melihat gelagat saya. 
"Sabaq, sabaq dulu" pesan saya pada mak.

Selesai mandi satu baldi dengan air tanah dan enam kali air bersih baru mak tahu saya menyamak badan. Tapi dia masih hairan.

Sebenarnya hari itu saya baru balik dari tugasan merakam gambar di sebuah kilang membuat makanan hasilan dari bahan mentahnya yang tidak halal termasuk daging babi. Ketika saya bersama Prof Madya Dr Abdul Salam Babji ( kini Profesor ) berada di bahagian memproses bahan tidak halal seorang pekerjanya membawa daging babi dari setor.

Oleh kerana tidak yakin dengan apa yang saya alami, maka lebih selamat saya menyamak seluruh badan.

" Awat mak ingat anak mak ni dah gila ka?" saya bergurau dengan emak diakhir penjelasan itu.

*Pasai = PASAL, Sabaq = SABAR, Awat = KENAPA

Rupanya emak pun tahu erti terkenal

"Gambaq ni keluaq di sini semua oqang tengok ka?" emak saya dengan loghat pekat Kedah membelek-belek gambar ini.







Saya mengangguk kepala. Emak tengok gambar seperti tak puas-puas. Mana tidaknya gambar dia dengan cucu perempuan sulong dari saya.Maklumlah gambar dia semua orang lihat. Saya pula berkata siapa kenal emak akan tengok gambar ini.

Mana tidaknya tahun 1990 mana ada media macam sekarang. Sekarang tak payah masuk akhbar, gambar boleh dimasukkan ke Facebbok, Blog dan berbagai lagi. Malahan nenek-nenek sekarang sudah ada laman sosialkan?

Namun jauh disudut hati saya juga gembira dengan tersiarnya gambar ini dengan tajuk 'Memujuk Cucu'.


* "Gambaq ni keluaq di sini semua oqang tengok ka?" bermaksud: Gambar ini keluar di sini semua orang lihat ?

Menulis rencana di majalah

Suatu hari ketika menunggu bas di Jalan Tunku Abdul Rahman datang sahabat saya Gandhi Ramasamy sambil tersenyum dan ceria.

"He Macha, saya cari awak sudah banyak hari. Ini awak punya surat " dia menghulurkan sampul surat. Apabila saya buka terdapat satu cek bayaran kerana menulis di majalah Aktual mengenai kerjaya sebagai Jurugambar. Majalah ini dikhaskan untuk pelajar sekolah menengah.

"Wau saya duit la Bang...." jerit saya sederhana. Saya tak ingat jumlahnya kerana saya malas nak selongkar fail lama. tapi saya yakin pada tahun 1981 kalau dapat RM50 dari hasil, karya yg tersiar dalam akhbar atau majalah amat lumayan.

Sebenarnya semasa saya menerima surat itu menunjukkan ia pernah dikirmkan ke UPM. Oleh kerana waktu itu UKM belum berpindah sepenuhnya ke Bangi maka surat itu menjadi mangsa sehingga lusoh. Mujur kejujuran staff di UPM maka akhirnya surat itu tiba juga ke tangan saya yang bertugas di Jalan Universiti Petaling Jaya, Selangor.

Ketika cek itu saya perolehi sebenar tuliasan saya sudah diterbitkan bulan sebelumnya. Saya nak pergi ke penerbit majalah itu agak payah, maka saya mencari di kedai-kedai buku di Jalan Silang, Kuala Lumpur. Nasib saya baik, apabila sebuah gerai buku milik seorang Inda masih menyimpan majalah tersebut.

Umpama bertemu harta karun maka saya membeli majalah Aktual itu dan kini menjadi khazanah berharga kepada saya.

Rabu, 23 Februari 2011

Maka jadilah Saya Jurugambar


Wajah UKM ketika saya mula bertugas pada tahun 1979
Setelah  balik ke kampung di Sungai Batang, Sik, Kedah, saya meneruskan kerja sebagai seorang penoreh getah. Pekerjaan tersebut adalah rutin biasa yang saya lakukan sebelum ini. Walaupun hati ini terasa berat, namun hasrat untuk berjaya tetap diteruskan tanpa jemu-jemu. Minat dan kemahiran saya ini telah tercipta oleh Yang Maha Esa, jadi mana mungkin boleh dilupuskan begitu sahaja.

Ketika itu saya langsung tidak dapat menduga perkembangan dunia fotografi akan berkembang dengan pesatnya seperti sekarang. Saat itu, saya hanya mengetahui dunia fotografi filem. Ittulah dunia saya yang sebenarnya.  Tambahan pula, ketika itu menghasilkan gambar dengan filem sudah dikira begitu canggih. Mana tidaknya dari segulung filem akan menghasilkan gambar dan boleh disimpan untuk tatapan generasi akan datang.

Minat saya tidak mampu lagi dihalang oleh bonda saya. Hati kecil saya berdetik, bonda hanya tahu dunia kerja kampungnya sahaja. Kalau ibunda tercinta tahu saya minta kerja pun hanyalah bertujuan untuk mengubah masa depan keluarga kami sahaja.

Pada hemat saya, kalau anak kecil kita buat benda yang pelik-pelik, tetapi kita tak suka biarkan saja (asalkan apa yang dilakukan itu tidak merbahaya). Sebenarnya, itu adalah daya kreativiti dan kreatifnya. Saya pun suatu ketika dahulu macam tu juga. Saya rendam gambar dalam besen air. Konon-kononya mahu proses gambar.  Nah!  Akhirnya, proses tersebut terus terusan terbawa-bawa sampai ke hari ini. Suatu ketika dahulu, kerja saya dalam Bilik Gelap hanyalah untuk mencetak gambar hitam putih. Saat itu sampai datang hantu kat dalam darkroom.

Sudah ditentukan oleh Allah S.W.T, akhirnya saya menerima jua surat tawaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya berjaya dalam temuduga yang dijalani tempuh hari. Surat yang hantar dengan tanda tangan Encik Aziz Kamil  Penolong Pendaftar di  Pejabat Pendaftar menjadi kejutan kepada saya. Yah!  Suatu kejutan besar.  Tuhan saja yang tahu perasaan saya saat itu. Saya mengalirkan air mata kerana berjaya, Titisan air mata yang mengalir kerana saya bakal meninggalkan bonda yang sudah dimamah usia tua di pedalaman Kedah.  Namun, demi masa depan saya harus pergi jua bagi mencari sesuap nasi. Seandainya  saya menolak tawaran ini,  maka masa depan saya tidak tentu lagi. Kisah selanjutnya  tentang masalah ini kena baca di Sik ke Bangi.

Selepas mendaftar dengan nombor pekerja UKM (PER) 3308, saya diminta ke Fakulti Sains yang terletak di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Ketika itu saya terkejut, eh... UKM ada kat sana. Rupa-rupanya ketika itu UKM masih ditempatkan di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur, Seksyen 16, Petaling Jaya dan di Jalan Raja Muda KL. Kerani di Pejabat Pendaftar bertanya nak ke Jalan Pantai Baru tau ke? Saya menggelengkan kepala. Kata kerani tersebut, “Kalau begitu, kena tumpang kereta penghantar surat yang akan ke sana sebentar lagi.”

Saya mengeluh resah.  “Mak ai, hendak ke sana dari Bangi bukannya dekat.”  Di kampus Jalan Pantai Baru, saya perlu mendaftar di Fakulti Sains. Selesai melaporkan diri, saya diminta ke kampus UKM di Jalan Universiti, Petaling Jaya. Rupa-rupanya saya perlu bertugas di Kompleks Makmal UKM.


Jarum jam menghampiri jam 2.00 petang, baru saya selamat sampai ke tempat kerja yang dimaksudkan. Apa tidaknya, dari Bangi ke Jalan Pantai Baru, kemudiannya selepas itu ke Jalan Universiti Petaling Jaya. Wah! Naik semput juga saya dibuatnya.

Situasi yang berlaku di tempat kerja yang baru saya tiba tu merupakan kampus sementara UKM. Saat itu saya tempat saya mencari rezeki itu berkongsi ruang bekerja dengan Maktab Perguruan Islam (kini Institut Perguruan Islam, Bangi). Kampus ini merupakan makmal-makmal sains Fakulti Sains UKM. Saya ditempatkan dengan kakitangan yang berjawatan Pembantu Makmal. Sebenarnya ketika itu ramai orang yang mengenali saya sebagai Pembantu Makmal.

Saya tinggal sebilik dengan Mohd. Khalil Alwi (kini Haji dan sudah bersara pada tahun 2009). Haji Khalil seorang Pembantu Makmal yang menjalankan kerja-kerja fotografi. Ketika itu sistem perjawatan tidak seperti sekarang. Ada Pembantu Makmal buat kerja Jurugambar, ada Pembantu Pejabat melakukan tugas Pelukis Grafik.

Saya ditawarkan dengan mata gaji $295 dengan Ged C15, tanpa apa-apa elaun seperti sekarang. Namun,  harga barang tidaklah seperti waktu ini. Makan nasi di kedai  hanyalah dengan membayar $1.80 sen sudah berbaloi.  Lauknya pula ada ayam goring, sayur dan segelas sirap.

Sejarah lampau masih berbekas. Saya masih ingat pada satu ketika dahulu ada seorang rakan yang mencadangkan saya menukar jawatan kepada Pembantu Makmal, namun saya tidak bersetuju kerana saya tidak berminat dengan kerjaya itu. Mana tidaknya, gaji saya $295 dan gaji mati cuma $570.  Sementelahan, pada waktu itu gaji Pembantu Makmal dan Kerani lebih tinggi daripada saya.

Saya, kemudiannya telah ditempatkan dalam satu bilik yang dinamakan Bilik Gelap. Ya! Allah.... istimewanya bilik ini kerana namanya mengambil sempena tugasan yang perlu dilakukan. Ingatkan bilik Jurugambar, rupa-rupanya saya ditempatkan dengan Khalil dalam bilik tempat memperoses filem dan mencetak gambar hitam putih.

Khalil seorang Pembantu Makmal yang banyak pengalaman dalam bidang fotografi. Paling istimewa Khalil mahir menggunakan kamera mikroskop. Saya banyak menimba pengalaman daripada beliau.

Hari pertama dengan Khalil, beliau menerangkan bagaimana kerja yang akan dibuat. Rupa-rupanya tugasan saya di sini ialah merakam gambar hasil penyelidikan pensyarah dan pelajar. Banyak bahan-bahan penyelidikan di makmal harus diterjemahkan ke dalam gambar. Eh!  Bukan mudah kerja saya ni, detik hati saya. Ini saya tidak belajar ketika di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dulu. Kalau adapun saya diajar merakam gambar dalam subjek fotografi bahan. Tapi kini saya telah terlibat dalam fotografi sains. Maka, pada  hari tu baru saya faham maksud yang diperkatakan oleh Pegawai Belia di Alor Setar tempuh hari.

Saya sedar bahawa harus banyak belajar dengan senior ni. Pada hari berikutnya saya diperkenalkan dengan
Dr. Mohammed Omar.  Beliau seorang pensyarah yang menjadi Penyelaras Bilik Gelap tersebut. Pertama kali bertemu, saya berasakan orangnya agak serius. Oleh kerana Dr. Mohamed Omar mengajar subjek yang ada kaitan penggunaan mikroskop, maka beliau dijadikan sebagai penyelaras kami berdua.

Dr. Mohamed Omar mahir, minat dalam bidang fotografi. Beliau ahli persatuan fotografi di New Zealand. Saya dibekalkan dengan buku-buku fotografi yang beliau beli ketika menyambung pengajian pada peringkat PhD dulu. Dr Mohamaed banyak menempah majalah luar negara untuk tujuan pembacaan dan koleksi itu disimpan oleh kami. Saya masih ingat setiap bulan dapat membaca majalah U And You Camera.

Setelah saya bertugas di Fakulti Sains, UKM, maka Dr. Mohamaed Omar dan Khalil menjadi guru saya selepas Encik  Majid dan Encik  Haidar di IKBN.  Sebenarnya ketika itu agak sukar untuk mencari seorang guru fotografi. Tidak seperti sekarang agak ramai yang sudah menjadi guru fotografi. Ada waktunya saya menjadi kerdil saat berdepan dengan mereka, biarpun saya sudah hamper 32 tahun menjadi Jurufoto di UKM.

Semua orang takut memegang kamera ketika itu. Mana tidaknya, merakam gambar dengan kamera filem tidak sama dengan kamera digital sekarang. Jika saya merakam gambar, ada ketikanya hampir sepuluh tidak menjadi. Kalau berniaga sudah tentu merugikan. Insya-Allah saya akan teruskan kisah ini dalam siri seterusnya.

Nota: 
*$295- simbol mata wang Malaysia sebelum ditukar ke RM295
*Panggilan Jurugambar merupakan jawatan asal dalm senarai jawatan JPA sebelum ditukar menjadi Jurufoto C10 dan Ahli Fotografi B17 atau B22, B27,B32.



Selasa, 22 Februari 2011

Temuduga

Peralatan fotografi di zaman filem
Suatu malam saya bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke UKM Bangi menerusi Sungai Petani. Saya ke sana untuk menghadiri temuduga di UKM Bangi. Bila dengar UKM Bangi, adoi menarik sekali. Menara Gading lah katakan. Sesampai di Pudu Raya saya mengambil bas Foh Hup untuk ke Kajang.

Di Kajang saya terperanjat kerana ingatkan pekannya besar, alahai pekan Kajang macam pekan koboi juga masa tu (1979), tetapi besar dari pekan Sik. Namun bandar Sungai Petani lagi menarik. Hentian bas Kajang kotor. Menariknya lagi di situ ramai bijak pandai berkumpul.



Temuduga diadakan di tingkat lima pejabat Pendaftar UKM.Peserta temuduga yang saya ingat sampai sekarang hanya Saliman bin Leman, kini Jurufoto Perhubungan Korporat UKM, Azman, bekas Jurufoto UKM, USM, UPM dan sebelum meninggal dunia beliau sempat menghabiskan PhD dan menjadi Pensyarah di UNIMAS.

Saliman dengan bergaya bertanya, "kau dah kerja di mana?". Belum jawab saya. Noreh getah. Saliman beritahu, dia sedang bekerja di UPM. Saya fikir peluang untuk saya amat tipis apabila berdepan dengan Saliman ni.

"Kau datang dari Kedah ni?,"  "ya Bang jawab saya", saya menjawab macam kena buli. Dalam hati berkata, kalau macam ni balik motong getahlah aku lagi. Pegang pisau getah bukan kamera. Hati kecil berkata pula, bila nak kawin kalau masih motong getah dengan harga tak sampai seringgit sekati. Saya rasa, kalau tidak berjumpa lagi Saliman sehingga sekarang rasanya dia pasti ingat kisah ini.

Nak tanya dia, abang dah kawin ke belum, takut pula. Maklumlah gaya Saliman ni macam taiko lak. Namun, gaya orang lain yang datang temuduga tak kurang hebat. Saya menikus saja....Budak kampung baru berusia 21 tahun. Saliman ni nampak gaya veteran juga....Eh sekali ingat macam kisah DoReMe pula.

Pejabat Pendaftar ketika tu tidak lah macam sekarang. Bunyi mesin taip berderap-derap. Belum lagi bunyi tapak kasut staffnya yang keluar masuk ada yang pakai seluar baggi, ada yang pakai baju kurung. Masa itu orang bertudung belum ada. Bukanlah dia orang tak tutup kepala. Ada juga yang pakai skaf. Saya pun tak tahu apa maksud jawatan Pendaftar ketika itu. Sebab saya ni orang kampung.... pejabat DO, ADO, Penghulu, Pejabat Guru Besar tau lah.

Apabila nama saya dipanggil peluh jantan keluar. Mana tidaknya sejak turun bas di Pudu Raya tadi belum mandi. Tidak tahu nak mandi di mana. Saya belasah pakai minyak wangi saja. Mujur Saliman tak tau. Dia tau pun setelah bertugas di UKM. Haaa, maaf Man ini rahsia saya. Dengan penuh skima saya masuk bilik temuduga. Masih belum lupa, seingat saya bilik itu terletak sebelah kanan nak masuk pejabat Pendaftar. Masa tu belum ada kaunter seperti sekarang. Ketika itu UKM baru wujud dan telah pindah ke bangunan baru, Pejabat Pendaftar nampak hebat.

Penal temuduga terdiri daripada Pendaftar, Bendahari dan Pengerah Pusat Teknologi Pendidikan. Saya tahu pun, setelah masuk kerja kat UKM. Namanya Tuan Syed Arabi, En Omar, En Chan Bing Fai (yang juga seorang penggiat fotografi berbangsa cina).

Soalan macam-macam lah ditanya. Penal temuduga melihat sijil-sijil yang ada. Saya berdoa perlahan-lahan ketika penal melihat sijil-sijil itu. Alaaa, doa tu pun bukan apa, nak hilangkan darah gemuruh sahaja. Kalau tak dapat, tak dapat juga. Tetapi  mengharab tetap tinggi. Macam orang masuk rancangan Mentor... kalau menang nak kawin.

Salah seorang penal bertanya, kalau kena ambil gambar mayat awak berani? Saya jawab boleh..."Tak takut dia bangun?" "Saya kata kalau dah mayat macam mana boleh bangun?" Waaa, loya  buruk pula saya.

Namun apa yang ingin saya catatkan di blog ini ialah azam saya hanya ingin mendapat kerja. Bukan menjadi Jurufoto terkenal. Sebab hasrat saya hanya ingin memperolehi gaji. Saya sedar dengan gaji RM295 ketika itu memang kecil. Tetapi azam saya hanya ingin bekerja. Terus terang saya katakan prospek kerjaya jurufoto zaman itu memang tidak cerah. Saya tidak termimpi bahawa bidang ini telah menjanjikan satu cara memperolehi pendapatan lumayan.

Kata-kata penal temuduga yang terakhir membuatkan saya yakin saya mungkin akan dapat pekerjaan ini ialah apabila mereka bertanya "alamat surat menyurat ini boleh sampai atau tidak bila surat dihantar". Saya jawab boleh. Maklumlah alamatnya agak umum. Surat pula Posmen letak di kedai runcit sahaja.

Saya keluar dari bilik temuduga dan bersalam dengan Saliman dengan anggapan tak jumpa lagi. Maklumlah, kalau-kalau dia dapat, saya yang melepas. Kalau saya yang dapat kerja itu, dia yang melepas.

Rupa-rupanya tidak begitu. Selepas saya datang bertugas di UKM boleh terjumpa dengan Saliman. Nak tau kisahnya teruskan membaca siri dalam blog ini.

Ahad, 20 Februari 2011

Mencari Arah Hidup

Pelatih PLBN (kini IKBN  Peretak) dari Kedah-1977

31 Disember 1977 saya telah menamatkan kursus seni foto di Pusat Latihan Belia Negara (PLBN) kini Institut Kemahiran Belia Negara. Punyalah sedih untuk meninggalkan PLBN. Mana tidaknya sudah enam bulan berkampung dengan rakan-rakan pelatih.


Balik dan tinggal dengan emak di pedalaman Sik, Kedah yang tiada kemudahan elektrik dan sebagainya. Lihat Dari Sik ke Bangi. Selang beberapa hari saya dan rakan sekursus dari Sik berjumpa dengan Pegawai Belia Kedah di Alor Setar. Punyalah bersemangat untuk memulakan perniagaan. Ya... hasrat pergi IKBN untuk menjadi usahawan kononnya. Nak menjadi Belia Niaga.

" Tahniah awak berdua dah berjaya tamat kursus dan mewakili negeri Kedah untuk tahun 1977", itu kata-kata semangat Pegawai Belia itu. Oh....kiranya semangat membara lagi. Mana tidaknya lepas ni tentu ada harapan dapat bantuan dari peruntukan belia.

" Sebelum memulakan perniagaan elok lepas ni pergi seluruh bandar Alor Setar dan lihat beberapa kedai gambar yang ada. Berapa kedai Melayu, berapa kedai orang Cina." Aduhai... kena buat kerja rupanya. Masa saya dan Rosli Jusoh ke IKBN mana ada Latihan Industri masa sekarang.

Akhirnya kami berdua angkat kaki dan meninggalkan Pegawai Belia tu dan meronda Bandar Alor Setar. Satu kedai ke satu kedai kami tinjau. Berjalan berdua dengan seluar beltbottom ala Mat Bangla zaman ni. (Masa tu Mat Bangla belum ramai malah belum ada lagi). Lepas satu kedai ke satu kedai. Hebat-hebat kedai mereka. Yalah kedai-kedai kat Bandar Alor Setar, ibu negeri Kedah lah katakan....

Menariknya apabila terjumpa kedai yang banyak merakam peristiwa di Istana Anak Bukit. Rupa-rupanya kedai itu merupakan kedai Jurufoto Istana untuk Sultan Kedah dan kerabat-kerabat Dirajanya. Mak ai... kecilnya rasa diri ini. Baru balik kursus dah nak jadi tauke kedai gambar? Ingat nak buka kedai gambar macam jual nasi lemak kat tepi jalan? Nak jual nasi lemak pun kena ada modal banyak juga. Kalau nasi lemak tak laku lagi hancur.

Mungkin silapnya masa tu pihak Jabatan Belia tidak memantau  bekas pelatih (alumni). Malahan sehingga kini saya tidak pernah dihubungi apa dah jadi dengan saya. Begitu juga tidak ada usaha untuk mencari kembali alumni IKBN yang telah berjaya dalam sektor perniagaan mahupun makan gaji. Cuma sejak ada Facebook adalah juga usaha ini namun sekadar untuk sosial dan seronok sendiri sahaja.

Budaya makan gaji adalah satu ikatan yang kuat. Tambahan apabila melihat seawal pagi emak yang sudah tua harus mengadap pokok getah untuk mendapat sesuap nasi.


Akhirnya saya dan Rosli membuat keputusan sendiri. Hang dengan kerja Hang (kau), saya dengan cara saya. Kami berpisah selepas itu dan tidak berjumpa lagi sehingga kini. Dia pun setahu saya tidak menjadi jurufoto! Jadi peniaga foto lagi lah tak ada. 

Balik kampung, menoreh getah. Kisah ini saya banyak cerita dalam Dari Sik ke Bangi. Dalam Melihat dan Merakam saya hanya ingin menceritakan kisah pengalaman sebagai Jurufoto kerajaan di UKM. Makan gaji. 

Walaupun saya makan gaji tetapi saya mampu membawa fotografi secara menarik. Saya masih ingat kata-kata seorang pakar motivasi, Jadilah Seorang Yang Profesional Dalam Kerjaya Kita.

Bermula di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (kini Institut Kemahiran Belia Peretak)

[*Catatan ini terdapat beberapa istilah bahasa pasar dan daerah. Justeru diakhir catatan saya akan membuat terjemahannya. ] Pusat La...